Archives

Post

Buang tahi lalat jika mudarat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto MOHD AZIM ABD RAHMAN

KETIKA diperkenalkan rawatan membuang tahi lalat, ada yang terfikir apakah hukumannya? Ada pakar agama berpendapat, seandainya tahi lalat terlalu banyak di muka sehingga mendatangkan aib, maka diharuskan untuk membuangnya. Sekiranya seseorang itu berhajat membuang tahi lalat untuk kecantikan semata-mata, maka hukumnya juga haram kerana ia termasuk dalam konteks mengubah ciptaan Allah.

Dalam konteks ini, membuang tahi lalat sebenarnya perlu sekiranya tahi lalat makin membesar dan berubah warna (merah, coklat, kehitaman). Manakala tahi lalat berambut dikatakan bahaya kerana ia boleh mengundang kanser sel basal (bengkak-bengkak pada badan atau sembap kerana sakit beri-beri). Selain rawatan alternatif, terdapat pelbagai rawatan moden seperti laser untuk membuang tahi lalat.

Resdung

Tahi lalat atau kutil yang tumbuh banyak juga boleh menyebabkan resdung (sinus ). Resdung akan menyebabkan seseorang berasa tidak selesa seperti mengalami bersin, gatal, batuk banyak kahak, nafas berbau, alah pada cuaca dan berjerawat yang boleh menjejaskan aktiviti harian.

Tidak kurang pula yang menyifatkan tahi lalat sebagai kecacatan pada kulit.

Ini kerana tahi lalat yang tumbuh besar atau terlalu banyak dan berada di kedudukan tidak sepatutnya boleh menjejaskan penampilan dan keyakinan diri.

Pakar perubatan pula menggunakan beberapa istilah berlainan seperti tanda lahir, ketidakseimbangan saluran darah dan titik tidak berbahaya.

Terdapat dua jenis tahi lalat iaitu yang wujud semasa lahir atau sewaktu membesar. Antara penyumbang kepada kewujudan tahi lalat sewaktu membesar ialah sinaran matahari yang dikenali sebagai atypical atau dysplastic.

Faktor keturunan juga tidak boleh dipandang remeh kerana banyak keluarga mempunyai tahi lalat atypical, yang boleh dikaitkan dengan frekuensi tinggi melanoma atau kanser kulit.

Bagaimanapun, bintik hitam atau coklat pada permukaan kulit sering menimbulkan tanggapan sama ada membawa tuah atau sebaliknya.

?Tahi lalat boleh menjadi bahaya jika terdapat perubahan dari aspek warna, ketinggian, saiz atau bentuk. Misalnya tahi lalat yang mempunyai diameter lebih besar daripada pemadam pensel atau yang mempunyai bayang warna pelik seperti biru, putih atau merah atau yang mempunyai tekstur kasar dan menggerutu.

??Sekiranya seseorang mempunyai tahi lalat sebegitu, dinasihatkan supaya membuangnya. Kini terdapat pelbagai cara yang selamat lagi berkesan bagi membuang tahi lalat. Ada yang menggunakan kaedah pemotongan dengan jahitan serta pengecutan tahi lalat,? ujar pemilik Putri Timur Beauty & Spa, Nelly Arifin.

Pantang

Di pusat kecantikan ini, pelanggan yang ingin membuang tahi lalat akan menjalani rawatan pengecutan terlebih dahulu.

Tahi lalat akan gugur dengan sendirinya dalam masa lima hingga tujuh hari bergantung kepada saiznya selepas menjalani rawatan khusus. Bagi tahi lalat kecil, ia akan gugur selepas sahaja menjalani rawatan.

Bagi mengelak timbulnya parut selepas tahi lalat jatuh, pelanggan dinasihatkan tidak mengambil kicap, cuka dan serbuk perasa sehingga tahi lalat gugur dengan sendirinya.

Menurut Nelly, kos rawatan untuk membuang tahi lalat dan kutil antara RM10 hingga RM50, bergantung kepada saiz bintik tersebut.

Selain rawatan tersebut, pusat kecantikan ini turut menyediakan rawatan muka, kolagen, lilin telinga, resdung, membuang bulu roma dan sebagainya.


Kesihatan Dan Kecantikan


Post

Ketahui risiko pasangan

UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini. 3

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif. 2

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

PENULIS ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB


Kesihatan Dan Kecantikan


Post

Kecederaan boleh bawa maut

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR
Khidmat terapi pertuturan juga diperlukan untuk membantu pesakit kelumpuhan korda vokal.

SUARA merupakan aset penting yang dimiliki setiap individu. Ia merupakan satu tenaga bunyi dengan getaran yang mempunyai ukuran gelombang tertentu dan terhasil daripada tekanan udara dari dalam binaan rongga tubuh manusia melibatkan paru-paru, korda vokal (vocal cord ) dan otot-otot di dalam peti suara (larinks) serta bahagian atas laluan (trek) suara iaitu lidah, lelangit, pipi (sinus) dan bibir .

Suara terhasil apabila berlaku getaran di korda vokal yang merupakan sepasang jaluran tisu di bahagian paling atas saluran pernafasan trakea di dalam kotak atau peti suara.

Korda vokal diselaputi oleh tulang rawan tiroid (thyroid cartilage) di bahagian hadapan dan tulang rawan aritenoid (arytenoids cartilage ) di bahagian belakang.

Korda vokal bersama-sama otot dan tulang rawan yang menyokongnya dipanggil larinks (kotak atau peti suara)

Dari segi biologi, larinks bertindak sebagai injap untuk melindungi bahagian pernafasan serta paru-paru.

Kedudukannya adalah bertepatan di mana saluran pernafasan dan makanan (esophagus) terpisah.

Bagi korda vokal, ia akan berada pada kedudukan membuka untuk membolehkan pernafasan berlaku dan menutup semasa menelan untuk mengelakkan makanan daripada memasuki paru-paru dan ia juga tertutup semasa bercakap.

Menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari, sekiranya berlaku kecederaan saraf pada korda vokal ia mampu menjejaskan fungsi-fungsi yang dilakukan oleh korda vokal seperti pernafasan, menelan dan juga bertutur.

Tambah beliau lagi, kedua-dua korda vokal ini dikawal oleh saraf yang dipanggil Rekuren Larinks (Recurent Laryngeal Nerve).

"Jika terjadinya kerosakan pada saraf tersebut sama ada sepenuhnya (total paralysis) atau separa (paresis), kelumpuhan korda vokal boleh berlaku.

"Dalam keadaan tersebut korda vokal tidak dapat membuka dan menutup secara sepenuhnya bagi kelumpuhan separa manakala dalam kelumpuhan sepenuhnya korda vokal tidak bergerak langsung.

"Begitupun, apa yang boleh menyebabkannya membawa maut ialah sekiranya kedua-dua korda vokal tidak berfungsi ia akan mengakibatkan seseorang itu sukar untuk bernafas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, antara penyebab berlakunya kelumpuhan korda vokal ialah ketumbuhan di peti suara, trauma di bahagian leher akibat kemalangan pembedahan leher (terutamanya kelenjar tiroid) dan pembedahan bahagian atas dada.

Selain itu, neurotoxin atau terdedah kepada bahan-bahan seperti berbahaya seperti lead, arsenik dan merkuri, jangkitan kuman, jangkitan virus, kecacatan kontigental serta idiopatik (tidak diketahui punca) juga boleh menyebabkan kelumpuhan korda vokal.

Menurut Dr. Samril, apabila korda vokal mengalami kelumpuhan, individu tersebut akan mendapati ada perubahan serta kelainan pada dirinya.

Katanya, kelumpuhan pada korda vokal terbahagi kepada dua iaitu kelumpuhan melibatkan sebelah korda vokal sahaja (unilateral) atau melibatkan kedua-dua belah korda vokal (bilateral).

Mengikut statistik, kelumpuhan unilateral adalah lebih kerap berlaku berbanding dengan kelumpuhan bilateral dan korda vokal sebelah kiri mempunyai kebarangkalian cedera atau lumpuh dua kali ganda berbanding sebelah kanan atas faktor anatomi saraf tersebut.

Daripada statistik tersebut juga turut mencatatkan perempuan mempunyai risiko 33 peratus lebih tinggi berbanding lelaki mengalami kelumpuhan ini.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, simptom yang dapat dilihat jika seseorang mengalami kelumpuhan unilateral ialah suara yang termengah-mengah, suara menjadi kasar atau serak, tidak boleh bertutur dengan suara yang kuat dan kualiti suara juga berubah.

Manakala simptom bagi individu yang mengalami kelumpuhan bilateral pula mereka akan mengalami kesukaran bernafas, pernafasan berbunyi dengan kuat (stridor), kesukaran menelan menyebabkan batuk atau tersedak semasa makan serta komplikasi akibat tersedak makanan seperti pneumonia.

Begitupun, bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, mereka yang mengalami simptom-simptom di atas bolehlah membuat pemeriksaan di mana-mana klinik atau hospital.

Malah menurut Dr. Samril lagi, kelumpuhan korda vokal boleh dikesan pada peringkat awal dengan melakukan pemeriksaan menggunakan kamera endoskopi sama ada dimasukkan melalui hidung ataupun mulut.

"Pemeriksaan menggunakan kamera endoskopi ini membolehkan korda vokal dilihat serta pergerakannya boleh diuji dengan mengeluarkan suara atau semasa rehat.

"Dalam masa yang sama, anatomi sekelilingnya juga boleh diperiksa atau dilihat untuk mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang ketumbuhan," katanya.

Sudah pasti setiap penyakit ada cara rawatannya dan begitu juga bagi mereka yang mengalami kelumpuhan korda vokal.

Bagi pesakit kelumpuhan bilateral rawatannya ialah melalui pembedahan trakeostomi atau pembedahan laser (laser cordectomy), manakala kelumpuhan korda vokal unilateral boleh dirawat dengan i suntikan kolagen, lemak, tisu graf dan teflon.

Selain itu, khidmat terapi pertuturan juga diperlukan untuk membantu pesakit-pesakit kelumpuhan korda vokal menjalani rehabilitasi suara sebelum atau selepas pembedahan atau pun untuk kes-kes yang tidak memerlukan pembedahan.

Jadi dalam erti kata lain, korda vokal anda perlulah dijaga agar ia tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kelumpuhan agar tidak mengganggu sebarang tugasan mahupun komunikasi harian anda.


Kesihatan Dan Kecantikan


Jika anda masih baru disini, sila masukkan email anda utk melanggan updated terkini dari kami terus dihantar ke email anda:

Delivered by FeedBurner


New Post

Tags

Abdullah (1) akhir (1) Akibat (1) Aktif (1) Alahan (1) american (1) americana (1) anjal (1) aprikot (1) atopik (1) Badan (4) bahagian (1) bahan (1) bantu (2) bebas (1) Bebaskan (1) berat (1) berbunyi (1) berkesan (1) berkhasiat (1) berlubang (2) bersama (1) bersenam (1) bertukar (1) besar (2) Betulkah (1) bibir (1) Bilakah (1) boleh (3) Buang (1) Buatan (1) bukan (2) carmino (1) cegah (1) cepat (1) cetus (1) cinta (3) complexion (1) creambc05 (1) dalam (1) darah (1) daripada (1) degil (1) Demam (1) dengan (1) diabetes (1) dikunyah (1) dirawat (1) disebabkan (1) effect (1) ekzema (2) episok (1) extra (2) factor (1) Faedah (1) faraj (1) faster (1) Garcinia (1) Gatal (1) genetik (1) halia (1) hamil (2) hempedu (1) herba (1) hidup (2) hitam (1) Homeopathy (1) hormon (1) Imbas (1) Inframerah (1) jalanan (1) Jangan (1) Jangkit (1) jantung (1) japan (1) jejas (2) jenis (1) jeragatbintik (1) jerawat (5) jerebu (1) Jilbab (3) kaedah (1) kanakkanak (1) kanser (4) Kasut (1) kebersihan (1) kecantikan (1) Kecederaan (1) kecil (1) kekal (1) Keluarga (1) kemaruk (1) kembali (1) Kembali (1) Kempen (1) kencing (1) kentut (1) Kerap (2) kesegaran (1) Kesesakan (1) kesihatan (2) Ketahui (1) ketika (1) keturunan (1) khasiat (2) kolagen (1) Koronari (1) Kreasi (2) kronik (1) kualiti (1) kulit (3) Kurang (2) kurus (2) Kuruskan (3) laitulqadar (1) lalat (1) langkah (1) langsing (1) lebih (1) lelaki (3) lembut (1) Leopard (1) lepaskan (1) Letih (1) Lirik (1) Lutut (1) makan (1) makanan (2) Makanan (2) malam (1) manis (1) manusia (1) Maraton (1) marigold (1) Masalah (4) Masih (1) Masker (1) matematik (1) melalui (1) melody (3) Memakai (1) Membersihkan (1) Mengapa (1) mengatasi (1) mengelakkan (1) Mengenai (2) menjaga (1) Menorrhagia (1) minda (1) Mirifica (1) misteri (1) Modern (1) montok (1) mudarat (1) Nailart (1) NanoV (1) nuklear (1) NUTRITION (1) Olahraga (1) Pakai (2) panas (1) parut (2) pasangan (1) payudara (4) pejalkan (1) peluang (1) Pengurusan (1) Penjagaan (1) penyelesaian (2) penyembuh (1) perawatan (1) pertingkatkan (1) perut (2) Phytolacca (2) pigmentasi (1) Pilihan (1) pintar (1) Puasa (2) punca (1) pundi (1) putih (1) racun (1) radiasi (1) Rahsia (1) rangsang (1) Rawat (2) Rawatan (1) remeh (1) Revolusi (1) risiko (2) rosakkan (1) Rozita (1) Rungkai (1) Rushmini (1) sakit (3) Sakit (1) sayangi (1) sebab (1) sebenarnya (1) secara (1) Sehat (1) Seimbang (1) seksa (1) selamat (1) selaput (1) selesa (1) Selsema (1) Sembang (2) sembelit (1) sembuh (1) semulajadi (1) Senaman (1) Sendawa (1) Sendiri (1) serang (1) serius (1) Shanana (1) sihat (2) Sinar (1) Sindrom (1) sinetron (2) Sinetron (1) singkir (1) sinopsis (1) stabil (1) strength (1) stres (1) sukar (2) tahun (1) Tambah (1) tanpa (1) tegang (1) telalu (1) Terapi (2) terbalik (1) terdedah (1) testimonial (1) Thanyaporn (1) tidak (1) Timun (1) Tokotrienol (1) toksik (1) tulang (1) Tutorial (1) ubati (1) udara (1) Untuk (2) vitamin (2) Wajah (1) Yogurt (1)